R.U.M.A.H.
Research
for the Understanding
of Malay
Architectural
Heritage
RUMAH
kini sedang mengumpul maklumat beberapa Rumah Bumbung Panjang Melayu
di beberapa negeri. Keutamaan mahu diberikan kepada Rumah Bumbung
Panjang yang menghadapi kepupusan iaitu :
- Rumah Tradisi Pahang
- Rumah Kutai (Perak)
Namun
RUMAH
juga telah mengumpul koleksi Rumah Bumbung Panjang dari Negeri
Sembilan dan Melaka. Rumah Melaka, Rumah Negeri Sembilan dan Rumah
tanjak Rembau, walau pun jumlahnya masih banyak tetapi ia juga
menghadapi banyak cabaran untuk terus kekal berdiri. Banyak rumah
tradisional di Melaka dan Negeri Sembilan yang menjadi rumah pusaka
kini sama ada terbiar, ditinggal kosong atas beberapa faktor termasuk
masalah pewarisan.
Oleh
kerana bilangan Rumah Melaka dan Rumah Negeri Sembilan masih banyak,
maka amat menarik untuk dibuat dokumentasi bagi penentuan tipologi
dan pembahagian Rumah Bumbung Panjang ini kepada beberapa variasi.
Rumah
Pahang
Rumah
Pahang atau Rumah Tradisi pahang adalah salah satu tipologi Rumah
Bumbung Panjang Melayu yang kini di ambang kepupusan. Masih terdapat
beberapa Rumah Pahang yang masih berdiri di sepanjang Sungai Pahang
dan Sungai Semantan antara Kuala Lipis hingga ke Pekan. Jumlah
terbanyak terdapat di kampong berhampiran Temerloh dan Pekan. Namun
bilangannya amat sedikit dan sebahagian besar adalah rumah terbiar
atau tidak dihuni lagi. Lembaga Muzium Pahang telah membuat inventori
dan dokumentasi. Salah sebuah yang telah dipulihara oleh Muzium
terdapat di kampong Pulau Keladi, Pekan.
Rumah
Kutai
Bagi
yang masih belum mengetahui, Rumah Kutai adalah Rumah Bumbung Panjang
Melayu Perak. Sebagai mana di Pahang, Rumah Kutai paling banyak
terdapat di sepanjang kiri kanan Sungai Perak dari Kuala Kangsar
hingga ke Teluk Intan. Antara Kampung yang masih mengekalkan banyak
Rumah Kutai adalah Sayong, Lambor, Bota, Parit dan Kampung Gajah.
Suatu masa dahulu, Kampung Gajah mempunyai himpunan Rumah Kutai yang
istimewa membentuk karektor kampung tradisi yang sangat menarik.
Namun lanskap budaya ini telah terhakis atau luput. Antara kampong di
Daerah Kecil Kampong Gajah yang istimewam ialah Pasir Salak, Banda
Baru dan Bandar Tua.
Jabatan
Seni Bina UiTM Seri Iskandar telah melaksanakan inventori dan
dokumentasi Rumah Kutai secara sistematik sejak beberapa tahun
dahulu. Jabatan Muzium dan Antikuiti dahulu telah juga membuat
inventori yang sama. Badan Warisan Malaysia pernah membuat pembinaan
semula (reconstruction) sebuah Rumah Kutai asli di Sayong, Kuala
Kangsar manakala Jabatan Warisan Negara juga telah memulihara salah
sebuah Rumah Kutai terpenting.
Rumah
Melaka
Rumah
Melaka dipercayai merupakan tipologi Rumah Bumbung Panjang yang
paling terpelihara kerana jumlah Rumah Melaka masih banyak dan
sebahagian besar masih diduduki dan dipelihara. Namun tidak dinafikan
terdapat juga Rumah Melaka dengan bentuk yang menarik telah dibiar
using dan ditinggalkan.
Perbadanan
Muzium Melaka (PERZIM) semenjak beberapa tahun dahulu telah melakukan
usaha pemuliharaan Rumah Melaka dengan terancang. Rumah-rumah
berkenaan telah didokumentasi dan kerja baik pulih telah direkod
dengan baik. Beberapa institusi seperti Politeknik Merlimau telah
inisiatif dokumentasi secara fotografi dan lukisan terukur. Antara
kampong yang mempunyai variasi Rumah Melaka yang menarik adalah
Kesang Luar, Kesang Darat dan Pondok Kempas di Daerah Jasin. Rumah
Melaka di sini mempunyai butiran seni bina yang berbeza dengan
himpunan Rumah Melaka di Daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Rumah
Negeri Sembilan
Seperti
mana Melaka, Negeri Sembilan juga masih mempunyai koleksi Rumah
Bumbung Panjang yang sangat banyak di seluruh negeri khususnya di
Seri Menanti, Rembau dan Kuala Pulah. Rumah Negeri Sembilan amat
menarik kerana ia mempunyai variasi yang pelbagai dan ini berkait
langsung dengan adat budaya Orang Minang Negeri Sembilan. Salah satu
variasi yang istimewa adalah Rumah Tanjak Rembau yang juga banyak
terdapat di wilayah Naning, Alor Gajah, Melaka.
Namun
terdapat banyak juga Rumah Negeri Sembilan yang kosong tidak dihuni
dan ini dikhuatiri akan terus terbiar dan usang. Berkemungkinan ini
disebabkan oleh pemiliknya yang telah’merantau’ atau ‘ditinggal’
sebagai rumah pusaka.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete